Peguam, Amer Hamzah Arshad ketika memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memberitahu, ini berikutan keterangan saksi pendakwa ke-25, bekas Pembantu Hal Ehwal Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Melaka, Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal yang sering berubah-ubah sejak disoal balas bermula semalam.

Menurut beliau, pihaknya akan menghantar surat tersebut selewat-lewatnya, pagi esok.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari ini untuk mengetahui status representasi terbabit.

Muhamad Razin yang kini ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pernah dipenjarakan selama empat tahun di Penjara Beirut, Lebanon selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tentera negara terbabit atas empat pertuduhan antaranya menganggotai kumpulan pengganas Jahhad Al Usrah, cuba memiliki senjata tanpa lesen dan cuba menyeludup senjata.

Dia dan rakannya, Razif Mohd. Ariff yang turut menghadapi pertuduhan dan hukuman sama baru sahaja dibebaskan daripada penjara tersebut pada 18 Oktober 2015 dan diletakkan di bawah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sebaik sahaja tiba di Malaysia selepas diusir keluar selepas tempoh pemenjaraan tersebut berakhir.

Lelaki terbabit juga pernah mengikuti usrah-usrah yang dianjurkan oleh Yazid di kediamannya sebelum bertindak ke Syria.

Pada 27 Mei 2013, Yazid, 52, didakwa menggalakkan keganasan bagi memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria di antara pukul 8.30 dan 10.30 pagi, 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012 di rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, di tempat yang sama, Yazid didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia di antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013. Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Muhammad Hilmi, 36, pula didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan terbabit dan bersubahat dalam menggalakkan keganasan bagi memajukan ideo­logi dengan niat mengugut orang awam di Syria.

Kedua-dua tertuduh terbabit sebelum ini pernah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi berlainan daripada pertuduhan menggalakkan keganasan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 18 Jun 2014 telah membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu turut dikekalkan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria. - UTUSAN ONLINE