Majistret Siti Radziah menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Lieana Johari , 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Nabeelah Basri ,33, dengan menumbuk muka sebelah kanan mangsa menggunakan tangan kanan dan menendang kaki kanan mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Nurul Lieana melakukan kesalahan itu di lobi North Tower, The Gardens di sini pada 9 pagi, 8 Januari lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur seorang sahaja, suami menetap di tempat lain. Saya juga mahu sambung belajar,” katanya. - BERNAMA