Perintah reman terhadap penolong penguasa Imigresen berumur 35 tahun dan pembantu penguat kuasa berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim di Mahkamah Khas Reman Seremban di sini, selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim.

Siasatan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 Seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

Video oleh Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Terdahulu, kedua-dua suspek yang diwakili peguam, Muhammad Zahid Ahmad tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut sumber, mereka dipercayai meminta wang RM22,000 daripada pemilik restoran berusia 38 tahun yang didapati menggaji empat pekerja warga Indonesia tanpa permit kerja sah, selepas premisnya di Paroi-Senawang dekat sini diserbu pada 28 Disember tahun lalu.

Suspek berusia 35 tahun itu dipercayai telah menerima wang suapan berjumlah RM6,000 di tingkat empat pejabat JIM negeri di Seremban dekat sini pada 10 Januari lalu, sebagai balasan tidak membawa kes itu ke mahkamah.

Kedua-dua suspek kemudian telah menerima wang berjumlah RM15,000 di pejabat yang sama pada 25 Januari lalu bagi tujuan yang sama.

Mereka telah ditahan oleh pegawai SPRM di pejabat berkenaan bagi membantu siasatan pada pukul 1 tengah hari semalam.

Hasil pemeriksaan SPRM di pejabat dan rumah kedua-dua suspek turut menemukan wang tunai berjumlah RM8,950 dan RM5,000. - UTUSAN ONLINE