Mohd. Faizul didakwa dengan keseluruhan 11 pertuduhan masing-masing dua di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM); empat di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima di bawah Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Turut didakwa bersabit kes sama ialah lima individu lain yang kesemuanya rakyat tempatan dengan jumlah keseluruhan pertuduhan bagi keenam-enam mereka sebanyak 32 pertuduhan di bawah tiga seksyen sama.

Kesemua kes itu dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 dan 2, Georgetown di hadapan Hakim Salha Hamzah dan Mazdi Abdul Hamid.

Semalam, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Ekoran itu, polis yang menjalankan siasatan berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000 hasil jualan MyKad sah berkenaan kepada warga asing dan menahan 20 individu setakat ini bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE