Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Mee,49, atau lebih dikenali sebagai Mee Tomoi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

 

Mengikut pertuduhan, Ahmad Mee bersama seorang lagi lelaki yang sudah didakwa telah membakar kereta jenis Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri di Jalan Persiaran Wawasan di sini, kira-kira pukul 5 pagi, 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGM), Nor Diyana Ab Shukor.

Dalam prosiding itu, Mohd Izham meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Nor Diyana memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh hanya memperoleh pendapatan bulanan RM2,000, selain perlu menanggung isteri dan ibunya yang lumpuh.

Ainul Shahrin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan.

Pada 6 Julai lalu, Mie Tomoi telah ditahan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah selepas beberapa bulan pihak polis memburunya.

Sebelum itu, pada Mei lalu, seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membakar Mohd. Asri.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Ainul Shahrin.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.- UTUSAN ONLINE