Lai Woan Yong, 37, menyerang jurukamera Astro Awani sebaik sahaja keluar dari mahkamah apabila dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas dia mengaku bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Wanita itu yang memiliki kedai perabot sebelum itu didakwa mendatangkan kecederaan terhadap sepasang anjing jantan dan betina jenis kacukan miliknya di sebuah rumah di Taman Merdeka, Hang Tuah Jaya kira-kira pukul 10.20 pagi pada 28 Jun tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik sepasang anjing itu didapati gagal melaksanakan tindakan wajar sehingga menyebabkan kesakitan serta penderitaan kedua-dua ekor anjing tersebut.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan oleh Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka di kediaman tertuduh mendapati kedua-dua ekor haiwan itu terlalu kurus dan mempunyai jangkitan penyakit kulit selain kesan bengkak pada mata sebelah kiri anjing betina.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh selepas membayar denda tersebut bertindak agresif terhadap seorang pengamal media dengan menolak kamera yang dipegang jurukamera Astro Awani sebelum bergegas keluar dari pekarangan mahkamah. - UTUSAN ONLINE