Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya menerima proses berkenaan, namun berharap agar ia dilaksanakan seadil-adilnya.

Menurutnya, apa yang jelas, pemberian atau penerimaan dana politik dari presiden parti adalah lazim bagi semua parti sejak berpuluh tahun dahulu demi kelangsungan parti.

“Sama ada pada zaman Datuk Seri Najib Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini, dana sudah pasti dari presiden parti itu sendiri.

“Tak apalah.. biarlah mahkamah yang menentukannya namun untuk menyalahkan kita (UMNO Kelantan) yang menerima sumbangan ini, ia tidak adil,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Machang di kediamannya di sini malam tadi.

Sambutan berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir menyatakan sokongan adalah Bendahari Pas Kawasan Machang, Ariffahmi Abd Rahman dan Ketua Pemuda Pas Machang, Razuan Awang Hamat.

Lebih 10,000 tetamu hadir pada majlis itu dan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bertemu, bersalam dan berswafoto bersama Najib.

Jazlan mengulas kenyataan SPRM yang berjaya memfailkan permohonan melucut hak di bawah Seksyen 56 AMLA 2001 terhadap pelbagai pihak bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB berjumlah RM270 juta yang disalah guna.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti seramai 41 individu dan entiti yang menjadi responden terhadap kes itu. - UTUSAN ONLINE