Tertuduh, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd. Fauzi, 19, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengacukan pisau ke arah bapanya, Wan Mohd. Fauzi Wan Yusof, 46, di samping mengugut mahu menikam sebelum kejadian itu dileraikan oleh ibunya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kampung Tebauk di sini kira-kira pukul 10 malam pada Rabu lalu.

Wan Adib Fawwaz dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Muhammad Asri Abu Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 5 Mac depan.

Dalam kejadian itu, Wan Mohd. Fauzi menegur tertuduh yang makan kesemua keropok lekor tanpa menghiraukan ahli keluarga lain.

Tertuduh yang berang ditegur tiba-tiba mengamuk dan mengambil sebilah pisau dari dalam bilik lalu mengacukan ke arah mangsa.

Bimbang akan keselamatan dirinya, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE