Pengakuan bersalah dibuat selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hak jagaan ke atas anak perempuannya berusia 10 tahun tiga bulan didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu dengan kesan rotan di tangan kanan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula tertuduh sebagai orang yang mempunyai hak jagaan sama ke atas anak perempuannya berusia enam tahun lapan bulan didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu dengan kesan rotan di bahagian belakang badan.

Kesemua perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di Blok A5-205, Seksyen 1, Wangsa Maju kira-kira pukul 10 pagi, 12 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd. Jafri dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun.

Hakim kemudiannya menetapkan 17 September ini sebagai tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh - UTUSAN ONLINE