Ketiga-tiga tertuduh yang berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Tertuduh pertama didakwa dengan empat pertuduhan manakala tertuduh kedua dan ketiga masing-masing satu dan dua pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah lokasi termasuk rumah dan kebun getah di Pendang dekat sini antara Mac hingga April lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,500 bagi tertuduh pertama manakala tertuduh kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM6,000.

Kesemua yang hadir dengan ditemani ahli keluarga masing-masing membayar jaminan tersebut.

Mahkamah pada masa sama memerintahkan mereka agar tidak mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tarikh sebutan kes bagi serahan laporan perubatan ditetapkan pada 16 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Dalilah Khalid sementara tertuduh pertama diwakili peguam, M. Puveneswaran manakala dua lagi tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim. - UTUSAN ONLINE