Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rafidah Yahaya berkata, bekas Perdana Menteri menandatangani Borang pertukaran nama atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan.

Beliau dalam keterangannya berkata, pertukaran nama TIA kepada 1MDB dibuat pada 25 September 2009.

“TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 sebelum ditukar kepada 1MDB. Syarikat tersebut adalah jenis berhad menurut syer syarikat awam,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam ketika pemeriksaan utama dalam perbicaraan hari kedua melibatkan Najib berhubung dana 1MDB.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan untuk sesi petang masih dengan saksi sama. - UTUSAN ONLINE