Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan ke atas tertuduh, Luqman Hadi Mustapha, 31.

Tertuduh didakwa membunuh Hassan A. Wahab, 70; isteri mangsa, Mariah Baharin, 62, dan anak lelaki tunggal pasangan itu, Mohammad Taufeq, 22.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mendatangkan kecederaan dengan menetak tubuh dua anak perempuan pasangan terbabit, Noor Haz­linda Diyana, 27, dan Nuraqedah Aeina, 24, menggunakan sebilah parang panjang yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi dua pertuduhan tersebut, Luqman Hadi didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara pukul 5.50 hingga 6.15 pagi di sebuah rumah di Kilometer 7.2, Kampung Bertam Malim di sini pada 25 Ogos 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd. Rosli dan Mazuin Hashim manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmy Sulaiman.

Ahmad Nasfy kemudian menetapkan 17 dan 18 Julai depan untuk mendengar pembelaan tertuduh dan seorang pakar psikatrik akan dipanggil untuk memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE