Perkara itu dimaklumkam peguam bela remaja tersebut Mohamad Zainuddin Abu Bakar selepas defendan pertama dalam kes saman itu yang juga bekas pembantu perubatan Kuala Lipis bersetuju untuk membayar jumlah tersebut kepada anak guamnya.

"Pampasan tersebut dicadangkan mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding bagi menyelesaikan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pengurusan kes saman tersebut di kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes itu.

Plaintif melalui ibunya memfailkan saman pada 19 Julai tahun lalu terhadap seorang pembantu perubatan dan lima lagi kerana cuai sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan plaintif, remaja yang berumur 10 tahun ketika kejadian mendakwa defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan kerana telah memotong keseluruhan kepala kemaluannya atau ‘glans penis’ kemudian membuat penyambungan semula dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Pada 20 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; sebagai defendan kedua hingga keenam untuk membatalkan saman itu. - UTUSAN ONLINE