Lebih malang buat mangsa, penghakiman itu diputuskan oleh tiga hakim wanita yang turut menyatakan rasa tidak suka kepada mangsa dalam penghakiman mereka.

Menurut undang-undang Itali, nama mangsa tidak didedahkan namun penghakiman terbaru mahkamah juga tidak mendedahkan nama kedua-dua tertuduh.

Penghakiman kontroversi itu telah menyebabkan sistem kehakiman Itali dikecam rakyatnya sendiri yang menyifatkan sistem tersebut sebagai ‘membenci wanita’.

Keputusan kontroversi itu sebenarnya dibuat oleh Mahkamah Rayuan Ancona, Itali pada 2017 dan tidak langsung menarik perhatian sesiapa pada ketika itu.

Namun, segalanya terbongkar apabila Mahkamah Agung Sassation, baru-baru ini membenarkan rayuan peguam yang mewakili mangsa sekaligus mengarahkan agar kes itu dibicarakan semula.

Pendedahan penghakiman kontroversi itu juga telah menyebabkan orang awam berkumpul dan membuat demonstrasi mengecam tindakan hakim-hakim wanita itu.

Menurut peguam Cinzia Molinaro yang mewakili mangsa yang berasal dari Peru, kedua-dua tertuduh dibebaskan oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan wanita pada 2017 yang menyatakan keterangan mangsa tidak kredibel kerana ‘dia kelihatan seperti seorang lelaki dan tidak kelihatan menarik untuk dirogol atau membangkit rasa berahi.’

“Adalah satu perkara yang menjijikkan apabila membaca penghakiman itu. Semua hakim menyatakan pelbagai alasan ketika mengetepikan sabitan tersebut dan salah satu daripadanya ialah salah seorang tertuduh menyatakan dia tidak menyukai mangsa kerana dia hodoh,” ujar Molinaro.

Sewaktu perbicaraan, mangsa mendakwa salah seorang tertuduh telah merogolnya selepas meletakkan dadah dalam minumannya sementara seorang lagi ‘menjaga kawasan’.

Keterangan pakar sebelum ini menyatakan kecederaan yang ada pada mangsa adalah konsisten dengan rogol dan ujian darah mangsa menunjukkan kesan benzodiazepines (ubat penenang) yang tinggi dalam darah mangsa.

Bagaimanapun, tiga-tiga hakim wanita itu memutuskan ‘adalah mustahil untuk menolak kemungkinan bahawa mangsa yang merancang kejadian ‘penuh semangat’ itu.’

Panel hakim turut menyatakan, ‘tertuduh langsung tidak menyukai mangsa malah turut menyimpan nombor telefon mangsa atas nama ‘Viking’ sekaligus menunjukkan mangsa bukanlah seorang yang feminin tetapi maskulin.

“Gambar mangsa di dalam fail kes turut menyokong keterangan ini,” tambah hakim dalam penghakiman mereka.

Alasan hakim yang membawa kepada kebebasan kedua-dua lelaki merupakan sebab utama pihak pembelaan merayu kes itu ke Mahkamah Agung Itali.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan semula di sebuah mahkamah di Perugia, Itali.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa akan hadir pada perbicaraan semula itu memandangkan wanita itu telah pindah semula ke Peru selepas dipulaukan oleh komuniti Ancona selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – Dailymail UK