Kedua-dua tertuduh iaitu Ooi Kooi Lam dan Loh Kim Yong yang masing-masing berusia 62 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di Alliance Bank, Jalan Stadium di sini antara Julai 2015 hingga Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh dari Perlis itu didakwa melakukan kesalahan serupa di lokasi sama antara Januari 2016 hingga Disember 2016.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan pada prosiding menawarkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan antara lain menyatakan kesalahan bagi dua pertuduhan itu melibatkan jumlah deposit yang banyak.

Mohd. Alif Farhan kemudian memberitahu jumlah deposit terlibat dianggarkan sebanyak RM90,000 selepas ditanya Sharifah Norazlita bagi mengambil kira jumlah jaminan yang akan dikenakan kepada setiap tertuduh.

Peguam, Eng Yuh Pei yang mewakili Kooi Lam dan Kim Yong bagaimanapun meminta jaminan lebih rendah kepada setiap anak guamnya dengan memaklumkan mahkamah bahawa jumlah deposit yang disebut Mohd. Alif Farhan itu tidak dinyatakan dalam dua pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan mereka membayar jaminan tersebut.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 2 Julai depan. - UTUSAN ONLINE