Ketika memberikan kete­rangan dalam perbicaraan kes penyalahgunaan dadah pelakon berkenaan, saksi keempat Koperal Muhammad Iskandar Ali, 29, berkata, perbezaan itu didapati pada borang akuan pemberi dan borang permin­taan ujian pengesanan dadah dalam urin.

FARID KAMIL
FARID KAMIL 

Menurutnya, ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Petaling Jaya, beliau menye­mak borang itu selepas menerima butiran berkenaan daripada Inspektor Faizal Abdullah, 33, yang menjadi pe­ngadu berkaitan kes berkenaan.

“Saya mengisi kesemua borang dan memberi kepada Farid Kamil untuk ditanda ta­ngan. Saya menerima arahan daripada Inspektor Faizal yang meminta saya dan dua rakan untuk membawa Farid Kamil ke pejabat narkotik Petaling Jaya bagi saringan ujian urin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran ketika perbicaraan yang dijalankan di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Muhammad Iskandar menjelaskan, walaupun kedua-dua tanda tangan itu berbeza tetapi dia yakin tanda tangan itu milik pelakon itu kerana menyaksikan sendiri Farid Kamil menurunkan tanda tangan pada borang tersebut.

Ujarnya, borang akuan pemberi ditandatangani sebelum pelakon itu menjalani ujian urin manakala baki borang ditandatangani selepas selesai menjalani ujian tersebut.

Ketika disoal Alia Sumayyah berhubung perbezaan tanda tangan itu kepada Farid Kamil, beliau menjawab tiada.

Sementara itu, ketika sesi soal balas yang dikendalikan peguam Megat Syazlee Mokhtarom, Muhammad Iskandar bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa keha­diran pegawai selia dari Jabatan Narkotik penting untuk memastikan prosedur pengambilan urin itu tepat.

Selain itu, saksi turut bersetuju bahawa hanya ada satu botol urin milik Farid Kamil yang dihantar untuk dianalisis.

Perbicaraan akan bersambung 31 Januari ini dan 27 Februari depan dengan dua lagi saksi termasuk pegawai penyiasat Inspektor Asrul Izwan Mahizan akan hadir sebagai saksi kes penyalahgunaan dadah pelakon itu.