Tertuduh S. Kevin Raj, 23, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dikemukakan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang tidak mempunyai pendapatan tetap itu didakwa telah menipu Sim Ting Ting, 29, dengan memperdayakan jurujual itu untuk mempercayai bahawa tiket konsert Westlife yang diserahkan kepada mangsa adalah tiket yang benar.

Perbuatan itu telah mendorong Ting Ting untuk membuat kemasukan wang berjumlah RM171,756 ke dalam akaun tertuduh.

Kesemua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Putra Indah Kondo, Taman Serdang Raya, Seri Kembangan dekat sini antara 25 Mac hingga 25 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. - UTUSAN ONLINE