Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian setelah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Tia Bon mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap syarikat tersebut dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Norashima turut menetapkan orang kena saman (OKS) itu dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Lysaght Galvanized Steel Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja memeriksa, membaiki dan menukar bumbung sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas Cheong Kim Loong, 55.

Kejadian itu didakwa berlaku di premis syarikat berkenaan di Lot 89, Kawasan Perindustrian Tasek di sini pada 22 April 2019, kira-kira pukul 10 pagi.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Fazira Azita Abdul Rashid sementara OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tia Bon merayu kepada mahkamah supaya dikurangkan hukuman ekoran insiden itu merupakan yang pertama berlaku dalam syarikatnya.

Tambahnya, pihak syarikat berasa sedih dengan kejadian berkenaan dan telah melaksanakan sistem penambahbaikan supaya kejadian sama tidak berulang.

Namun, Fazira Azita memohon supaya hukuman setimpal dikenakan memandangkan syarikat tersebut telah beroperasi selama 40 tahun tetapi masih gagal mengikut prosedur ditetapkan, justeru wajar menjadi pengajaran kepada organisasi lain supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan di tempat kerja. - UTUSAN ONLINE