Suboh, 68, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, pada 2015, beliau hanya menerima panggilan telefon daripada bekas Pegawai Eksekutif SRC International itu yang mengarahkannya untuk melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Saksi pendakwaaan ke-42 itu berkata, bagaimanapun Nik Faisal tidak menyatakan alasannya yang mengarahkan beliau untuk melarikan diri.

"Saya tidak bertemu dengannya...perbualan itu hanya berlangsung melalui panggilan telefon untuk meninggalkan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perbicaraan berhubung dana SRC International yang masuk hari ke-33 hari ini.

Bagaimanapun, Suboh enggan mengikut arahan Nik Faisal ketika diminta untuk meninggalkan Malaysia buat kali kedua pada tahun 2018.

Katanya, ketika itu beliau berada di Indonesia bersama isterinya untuk bercuti.

"Saya cakap padanya yang saya tidak akan pergi," katanya.

Dalam pada itu, Suboh berkata, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mencarinya lagi selepas beliau selesai memberi keterangan kepada agensi itu buat pertama kali di Abu Dhabi pada 2015.

Beliau berkata, ia sehinggalah pada Mei 2018 apabila beliau dipanggil untuk diambil keterangan sekali lagi beberapa minggu selepas perubahan kerajaan.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. - UTUSAN ONLINE.