Mohd. Hafizul Md. Nawi, 27, didakwa dengan sengaja membenarkan tujuh imigran haram masuk dan tinggal di sebuah premis yang beralamat di XG/25, Blok Bawah J, Jalan Plumbum X7/X, Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 10.10 malam, 20 Februari lalu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Noor Asfihan Abdul Wahid mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan) 2002.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM30,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap warganegara asing yang dibenarkan berada dalam premis.

Terdahulu, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar menangguhkan keputusan hukuman pada tarikh lain di atas alasan anak guamnya tidak mempunyai cukup wang.

Hakim Saifulakmal Mod. Said kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 26 September ini untuk keputusan jatuh hukum.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.-UTUSAN ONLINE