Ini berikutan pihak pendakwaan hari ini menarik balik rayuan terhadap pembebasan Shamsubahrin, 53, yang diwakili peguam, Haijan Omar.

Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Kamardin Hashim bahawa pihak pendakwaan telah menfailkan notis pemberhentian rayuan itu pada 18 Mac lalu.

“Kami memohon untuk menarik balik rayuan dan mohon supaya rayuan dibatalkan,” katanya.

Hakim Kamardin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rodhzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah kemudiannya membatalkan rayuan pendakwaan.

Shamsubahrin yang hadir di mahkamah tersenyum dan kelihatan berbua-bual dengan peguamnya selepas prosiding itu.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah pada 5 Julai 2017 yang melepas dan membebaskan Shamsubahrin daripada kesemua pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan Shamsubahrin terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 18 Mei 2015, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan menipu serta penjara antara enam bulan sehingga lima tahun bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram selepas mendapati Shamsubahrin bersalah atas pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.

Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Shamsubahrin membayar penalti RM611,895.94 mengikut Seksyen 55(2) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) bagi sejumlah harta yang dilesapkan dan membayarnya dalam tempoh tiga bulan.

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin didakwa terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012 dia didakwa terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Hakim Azman dalam keputusannya yang melepaskan Shamsubahrin berkata sebelum kes bermula pihak pendakwaan dan pembelaan telah mengemukakan persetujuan (dokumen) iaitu ‘Pengakuan Fakta Secara Formal’ dan ‘Fakta-Fakta Dipersetujui’ yang menafikan Dr Mahathir pernah mengenali Shamsubahrin.

“Ia juga menyatakan Dr Mahathir tidak pernah meminta Shamsubahrin membantu Mohamad Salleh atau NFCorp pada bila-bila masa dan pindaan oleh mahkamah dalam pertuduhan yang menyatakan perayu (Shamsubahrin) disuruh oleh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh adalah tidak benar,” kata Azman.

Sehubungan itu katanya isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuan atas sabitan itu memprejudiskan perayu (Shamsubahrin) dan memutuskan bahawa kesemua sabitan bersalah atas pertuduhan-pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) oleh hakim Mahkamah Sesyen digantikan dengan perintah lepas dan bebas. - BERNAMA