Panel tiga hakim terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak permohonan tersebut yang dibawa oleh Ketua Polis Negara (IGP) ketika itu Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Lembaga Disiplin Bukit Aman dan kerajaan.

Hakim Alizatul yang mempengerusi anggota kehakiman berpendapat pemohon gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman1964. Beliau memerintahkan pemohon membayar kos RM10,000.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pengembalian semula jawatan Selamat Rasumin (ketua inspektor) dalam pasukan polis dikekalkan. Beliau juga akan menerima tunggakan gaji, elaun dan faedah-feedah lain.

Pada 16 April, 2015, Selamat, 54, yang bertugas di Polis Daerah Pontian selaku ketua Bahagian Narkotik, menerima surat daripada IGP berkenaan memberitahunya bahawa beliau telah dipecat dari pasukan polis berkuat kuasa 26 Mac 2015, selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pertama salah laku semasa bertugas antara 2008 dan 2009.

Beliau diberi amaran atas tiga tuduhan lain.

Selamat memfail semakan kehakiman pada 8 Julai 2015, memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan lembaga dan perisytiharan bahawa beliau masih seorang pegawai dalam pasukan itu, dengan menamakan Khalid, Lembaga Disiplin Bukit Aman dan kerajaan sebagai responden.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakimannya dan memutuskan bahawa pemecatannya adalah tidak mengikut undang-undang.

Mahkamah itu juga membenarkan tuntutannya bagi siasatan untuk menentukan tunggakan gaji, elaun, dan faedah lain yang beliau sepatutnya terima dari tarikh beliau dipecat.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu hakim Datuk Hanipah Farikullah (kini hakim Mahkamah Rayuan), memutuskan bahawa kenyataan berhemat Selamat di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (CPC) telah direkod secara salah kerana pegawai penyiasat disiplin telah menggunakan kuasa khas seorang pegawai penyiasat dalam sesuatu kes jenayah.

Pada 5 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pemohon dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Selamat diwakili oleh peguam G. Subramaniam Nair sementara Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak pemohon. - BERNAMA