Prof. Madya Dr. Hartini Ahmad, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Hartini, pensyarah universiti gred DS54 didakwa melakukan perbuatan itu ketika dia memegang jawatan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM di UUM Sintok di sini antara Januari 2014 hingga Jun 2015.

Dia juga didakwa membuat pengesahan telah menerima sepenuhnya pembekalan perkhidmatan latihan oleh syarikat penyedia perkhidmatan bagi tujuan pembayaran sedangkan perkhidmatan tersebut sebenarnya tidak diterima.

Wanita berkenaan juga dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi seorang saudaranya dengan memperakui borang pesanan atau perkhidmatan bagi membekal dan menyediakan latihan untuk penuntut universiti.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu dan suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM65,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 29 April depan.

Di Mahkamah sama, seorang kontraktor, Nazrul Idham Abu Nasir, 42, didakwa atas enam pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM492,000 juga membabitkan pembekalan pakej latihan Pusat Kecemerlangan Industri di UUM sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dibekalkan.

Bagaimanapun lelaki tersebut mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan terhadapnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di restoran di hadapan UUM antara 30 Januari 2014 hingga 11 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 18 akta sama dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 29 April depan.- UTUSAN ONLINE