Pada ketika itu, bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menyatakan beliau merasa tertekan sehingga ingin meletakkan jawatan apabila menerima arahan daripada bekas Perdana Menteri terbabit tambahan pula pada waktu tersebut, ketuanya, Ketua Setiausaha Sulit, Datuk Seri Azlin Alias telah meninggal dunia.

Emosi Amhari Efendi dilihat agak terganggu sehingga jurubahasa mahkamah meletakkan sekotak tisu di hadapannya.

Menurut Amhari Efendi, beliau berasa bimbang akan dilibatkan dalam percaturan bekas majikannya dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Datuk Seri Najib mengarahkan saya untuk ke China untuk mengesahkan kerjasama antara Malaysia dan negara itu. Saya terpaksa akur dan setuju untuk ikut arahan Datuk Sri Najib memandangkan arahan daripada beliau sendiri.

"Pada masa ini saya cukup tertekan dan terfikir untuk berhenti kerja kerana arahan ini sangat membebankan lebih-lebih lagi sejak Datuk Seri Azlin tiada.

"Saya terpaksa menjalankan arahannya kerana beliau `boss' saya apatah lagi beliau Perdana Menteri Malaysia. Walaupun saya menghormatinya dan mengikut arahan Datuk Seri Najib tetapi inilah detik yang paling sukar dalam tugasan saya," katanya.

Saksi itu berkata demikian pada hari keempat perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE