Anggota bomba itu kemudiannya dikenal pasti sebagai Muhammad Adib dan saksi tersebut, R. Suresh, 33, memaklumkan sepakan itu menyakitkannya.

Suresh yang juga kontraktor dan hadir ke Kuil Sri Maha Mariamman bersama enam rakannya turut melakonkan semula posisi dia terjatuh ke atas Muhammad Adib selepas diminta berbuat demikian oleh peguam, Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Jabatan Bomba serta keluarga mangsa.

“Ketika saya datang untuk melihat, secara tiba-tiba saya ditolak hingga terjatuh ke atas anggota bomba, dengan tangan kanan saya terletak pada jalan, manakala tangan kiri saya berpegang pada bumper kereta dan ketika itu saya merasa bahu kanan saya ditendang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu ketika disoal Pegawai Pengendali Inkues, Zhafran Rahim Hamzah, Suresh memaklumkan dia turut mendengar pertanyaan daripada orang awam ‘anggota bomba pun nak pukul ke’ ketika suasana sudah kecoh.

Bagaimanapun, dia memberitahu tidak nampak mana-mana pihak memukul anggota bomba dari kedudukannya asalnya, yang jaraknya kira-kira 14 meter dari lokasi jentera Fire Rescue Tender (FRT) sebelum kemudiannya pergi lebih dekat untuk menyaksikan kejadian.

Namun, jelasnya, dia dapat melihat ada seorang lelaki membawa objek panjang dan meluru ke arah FRT bersama sekumpulan lelaki lain, sebelum mereka mula menyerang hingga menyebabkan cermin jentera itu pecah. – UTUSAN ONLINE