Pihak pendakwaan mengemukakan notis mengikut Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mewajibkan Rosmah mengisytiharkan semua hartanya bermula 1 Januari 2009 dan 31 Disember 2017.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pengisytiharan harta itu tidak akan memprejudiskan pembelaan Rosmah selaku pemohon termasuk menolak ketakutan bahawa maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya.

Hakim itu berkata, notis pihak pendakwaan itu adalah untuk keperluan siasatan dan tiada kaitan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata pendapatan yang dihadapi pemohon.

Rosmah memfailkan notis pada 24 Februari lalu bagi mengenepikan notis pendakwaan yang mengkehendali beliau mengisytiharkan hartanya.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan. - UTUSAN ONLINE.