Perkara tersebut disahkan oleh Pengurus Bank bahagian Pusat Kiriman Wang Ambank, Wedani Senen, 45, ketika dipanggil semula untuk memberi keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-24 itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram dalam sesi pemeriksaan semula berkata, keterangan pembayaran bagi semua transaksi melibatkan syarikat Blackrock Commodities Global Limited daripada Singapura dan Vista Equity International Partners daripada Seychelles itu dinyatakan sebagai 'pinjaman'.

Sithambaram: Menurut maklumat dalam transaksi pengiriman, apa yang dinyatakan?

Wedani: Pinjaman.

Sithambaram: Ada atau tidak dalam keterangan pembayaran memberitahu pembayaran adalah untuk hadiah atau derma?

Wedani: Tiada

Terdahulu, Wedani mengesahkan terdapat enam transaksi kemasukan wang ke dalam akaun bekas Perdana Menteri antara 19 Jun 2014 dan 18 Disember tahun sama.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berhubung prosedur standard operasi (SOP) Ambank berhubung dokumen sokongan bagi transaksi melibatkan jumlah kemasukan wang yang besar dan dari luar negara, saksi itu memberitahu, kebiasaannya pengurus perhubungan yang akan mengetahui mengenai dokumen tersebut. - UTUSAN ONLINE