Menurut Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, 58, bekas Perdana Menteri mempunyai dua kad kredit iaitu Ambank Visa Platinum dan Mastercard Platinum yang had penggunaan bagi kedua-dua kad adalah RM3 juta.

Beliau berkata, terdapat dua transaksi menggunakan kad Ambank Visa Platinum dengan jumlah perbelanjaan adalah RM456,360.51 dan lapan transaksi Mastercard Platinum melibatkan jumlah RM2,864,309.54.

"Berdasarkan penyata kad kredit, terdapat pembayaran dibuat pada 13 Ogos 2014 sebanyak RM2.8 juta bagi kad Mastercard Platinum dan RM449,586.95 bagi kad Visa Platinum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed dalam perbicaraan hari ke-37 melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-47 itu dalam keterangannya berkata, kad kredit Visa dan Mastercard Ambank milik Najib juga menujukkan transaksi pembayaran di butik Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2014 dan Hotel Shangri-La di Bangkok pada 4 Januari 2015.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali diteruskan dengan mendengar keterangan daripada Pengarah Undang-Undang Bandar Malaysia, Mohd. Suhaimi Ismail. - UTUSAN ONLINE.