Majistret Norhabsarina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhamad Abraz Mohamed Akram, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu kepada Lans Koperal Norhasliza Abdul Jalil dengan menyatakan beg silangnya disamun ketika berada di persimpangan lampu isyarat Kuala Kangsar-Chemor dekat sini.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Balai Polis Kampung Tawas, Ipoh pada pukul 7.55 pagi 14 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar dapat memberi pengajaran kepada dirinya dan orang awam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang ringan kerana keluarganya susah selain ibunya terpaksa meminjam wang bagi membayar denda berkenaan.

Norhabsarina kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh.

Jika gagal membayar tertuduh akan dikenakan hukuman penjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat laporan polis palsu kerana bimbang dimarahi ibunya selepas beg sandangnya hilang ketika minum di sebuah kedai makan. - UTUSAN ONLINE