Asisten Superintenden Mohd. Yusof Ariffin dari kumpulan 69 Komando (VAT69) berkata, antara bukti yang ditemukan ialah pelbagai barangan barangan berlainan dan struktur binaan yang berbeza di setiap kem.

Mohd. Yusof yang merupakan saksi ke-45 berkata, dalam operasi yang dilakukan pada Mei 2015 itu, pihaknya telah menemukan sebanyak 16 lokasi yang dijadikan kem di sempadan antara Malaysia dan Thailand.

“Di setiap kem yang ditemukan, ada peralatan berbeza yang digunakan seperti barangn memasak dan juga talam makanan. Struktur binaan kem dan khemah juga berbeza-beza, jadi kemungkinan ia dari kumpulan yang berbeza.

“Kem itu ada yang lama dan baharu. Kami juga jumpa laluan digunakan,” katanya pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini hari ini.

Selain itu katanya, walaupun penemuan kem berkenaan telah dibongkarkan sejak Januari 2015, pihaknya turut menemukan bukti baharu yang ditinggalkan di salah sebuah kem iaitu sisa nasi yang ditinggalkan.

“Namun, kami tidak dapat pastikan sisa itu ditinggalkan oleh pihak mana, sama ada pemburu di kawasan berkenaan atau siapa. Sisa nasi hanya sedikit, selain itu kami turut menemukan beras siam,” katanya.

Ketika menjawab soalan Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria mengenai punca air di kem-kem yang ditemukan, Mohd. Yusof berkata ada diantara kem berkenaan yang menyedut air menggunakan paip pvc dari kawasan Thailand.

“Antara barangan lain yang ditemukan ialah anak patung beruang dan juga pakaian. Di kawasan berkenaan juga kami temukan sebuah surau yang dinamakan musafirin” katanya.

Sesi yang memasuki hari ke-15 hari ini turut mendengar keterangan tiga lagi saksi iaitu Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk A. Aziz A. Rahim, Inspektor Wan Mohamad Hashim Wan Jaafar dan Asisten Superintenden Harnizam Idris. - UTUSAN ONLINE