Pengerusinya, Datuk A. Aziz A. Rahim berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berhubung salah laku pihak berkuasa dalam kes berkenaan kecuali terdapat dakwaan dalam laporan sebuah akhbar.

A. Aziz berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan memanggil dua wartawan (New Straits Times) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai laporan yang diterbitkan termasuk sumber didapati.

“Hasil keterangan dua wartawan terbabit telah dibincangkan dalam mesyuarat EAIC pada 6 Januari 2018 dan kami membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan kerana tiada asas untuk membuka kertas siasatan.

“Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, beliau telah memberi penjelasan mengenai tindakan yang diambil berhubung kes berkenaan katanya,” pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini hari ini.

Menurut A.Aziz, pertemuan dengan Mohamad Fuzi pada ketika itu dibuat sebagai kunjungan EAIC terhadap Ketua Polis Negara yang baharu dan bukannya semata-mata untuk kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

“Polis beri taklimat masa itu yang mereka sudah pun ambil tindakan sewajarnya, jadi pada pertimbangan EAIC tindakan sebenarnya telah diambil dan tiada sebarang isu untuk kata selindung kes berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE