Panel hakim yang akan mendengar kes berkenaan akan terdiri daripada lima hakim dan bukannya tujuh hakim seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Nizam Bashir, peguam pasangan suami isteri dan kanak-kanak berkenaan yang identiti mereka dirahsiakan berkata, mahkamah telah memaklumkan semua pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan mengenai perubahan dalam pemilihan hakim semasa pengurusan kes hari ini melalui sistem e-review.

"Mahkamah mengambil perhatian tentang pentingnya rayuan itu tetapi tidak dapat menyenaraikan panel tujuh hakim pada 16 Ogos dan mahkamah tidak boleh menangguhkan lagi kes itu," kata Nizam semasa dihubungi.

Pada Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada pasangan itu dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Pada September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mengikut undang-undang Syariah, kanak-kanak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya dianggap tidak sah taraf.

Rayuan berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan tahun lepas dengan panel lima hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif tetapi menangguhkan keputusannya.

Bagaimanapun, Raus telah meletakkan jawatan manakala beberapa hakim dalam panel itu juga bersara. - BERNAMA