Turut dibicarakan bersama adalah kes melibatkan abangnya iaitu Datuk Abdul Latif, 61, yang didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad memaklumkan bahawa semua dokumen melibatkan keseluruhan kes telah diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Tarikh perbicaraan lain yang ditetapkan adalah pada 11 Oktober ini.

Dalam pada itu, Aslinda turut memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah kerana telah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah dan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja naik taraf Jalan Persekutuan.

Beliau juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat iaitu Menuju Asas, Mangkubumi Sdn. Bhd., Pintas Utama Sdn. Bhd. dan AVP Engineering (M) Sd. Bhd.

Sementara itu, Abdul Latif turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya yang sama. - UTUSAN ONLINE.