Timbalan Pendaftar Mahyuddin Mohmad Som menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes di hadapannya dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria dan peguam Syahirah Hanapiah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Rozaliana ketika ditemui pemberita berkata, pasukan pembelaan tidak membantah permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

"Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd Ghazali pada pukul 9 pagi. Bagaimanapun permohonan ini hanya melibatkan Najib dan pihak masih belum menerima arahan untuk memindahkan kes bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengan Najib," katanya.

Pada 12 Disember lalu, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan perlindungan daripada dikenakan tindakan tatatertib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Mengikut pertuduhan, Najib, 66, didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan agar Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) SPRM 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016. - UTUSAN ONLINE.