Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah meminda perintah reman yang dikenakan terhadap lima lagi individu yang ditahan bersama-sama Haziq Abdullah daripada enam hari kepada empat hari.

Oleh itu, kelima-lima suspek berkenaan berkemungkinan akan dibebaskan esok.

"Adalah mustahil kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 377B. Majistret terkhilaf apabila memberikan perintah reman secara sama rata bagi kesemuanya sedangkan hanya Haziq yang disiasat mengikut Seksyen 377B.

"Jadi selain, Haziq Abdullah, perintah reman bagi lima lagi suspek dipinda kepada 4 hari," katanya.

Kesemua mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (terlibat dengan seks luar tabii), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan video lucah).

Pada 15 Jun lalu, Haziq Abdullah dan lima lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa dan direman enam hari yang mana penahanan itu akan berakhir Sabtu ini.

Mereka kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap perintah tersebut atas dakwaan majistret telah terkhilaf apabila mengeluarkan perintah reman secara 'pukul rata' bagi kesemua suspek. - UTUSAN ONLINE