Tertuduh, Hanisham Din, 47, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima rasuah berkenaan daripada syarikat pengangkutan, Kedah Costal Transport & Trading bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Hanisham yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu juga minta dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.

Tertuduh juga turut berdepan dengan lapan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri daripada Kedah Costal Transport & Trading

sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Perai di antara bulan Januari hingga September hingga 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh turut berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).

Untuk pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Nizam kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Setakat hari ini, seramai 28 anggota JPJ telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ negeri ini pada Januari lalu dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya. - UTUSAN ONLINE