Ngan Seng Ka @ Gan Seng Ka, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki rokok bernilai RM48.16 di sebuah stor tangga di Light Industry Shop House, Lorong Kelapa, Mile 5 1/2, Jalan Tuaran, Inanam, dekat sini, pada pukul 3 petang, 26 Ogos lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Tertuduh boleh didenda 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah Job Jau memohon ikat jamin RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan dua penjamin tempatan selain tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat JKDM dua minggu sekali.

Bagaimanapun, peguam Jul Hamri Jumhani yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM500 sebulan hasil jualan surat khabar selain mengalami masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM6,500 dengan dua penjamin tempatan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 September ini. - BERNAMA