Fazilawati Abdul Rahman, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu diamanahkan memegang kunci peti besi di dalam bilik mesyuarat di pejabat Kombek NS di sini bagi tujuan menyimpan wang tunai dianggarkan berjumlah RM143,000, dokumen mesyuarat agung tahunan kawasan dan dokumen perjanjian anggota bagi tarikh 26 Ogos 2016 hingga 1 Oktober 2016 yang telah dimatikan setem.

Dia dituduh pecah amanah apabila dengan curangnya telah menghilangkan kunci peti besi yang diamanahkan kepadanya antara 29 Oktober 2015 hingga Januari 2017 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun keseksaan.

Wanita itu boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri dan tertuduh diwakili peguam Nazri Kassim.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan. - UTUSAN ONLINE