Tertuduh, Ma’on @ Yunus Abu Samah, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berumur 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya di rumah mangsa di Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, Batu Berendam, di sini kira-kira pukul 1.30 petang, 15 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah menceroboh masuk ke rumah wanita itu tanpa kebenarannya pada waktu dan lokasi sama.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin sebelum itu memohon agar mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Norfazlinda Alimad bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh berpendatan tidak tetap sekitar RM500 sebulan dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

“Tertuduh juga perlu menyara enam anaknya termasuk paling bongsu yang berumur dua tahun dan seorang isteri berumur 46 tahun,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 18 September denapn sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE