Muhammad Shahril Ambry Pazeli, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan di hadapan Elesabet, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Gadong Perdana kira-kira pukul 4 pagi pada 30 Mac tahun lalu.

Dalam dua pertuduhan di hadapan Norma, tertuduh didakwa merogol seorang lagi gadis bawah umur yang juga berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Perak di sini sekitar pukul 3 pagi pada 28 Ogos 2018 dan pukul 9 pagi keesokannya.

Kesemua tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Norma menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa-mangsa yang juga saksi pendakwaan. - UTUSAN ONLINE