Notis usul berkenaan difailkan oleh Pendakwa Raya selaku pemohon di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Najib sebagai responden.

Menerusi notis usul itu, Pendakwa Raya memohon perintah supaya perbicaraan kes 1MDB ditunda sementara menunggu penyelesaian perbicaraan kes SRC diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan bersama notis usul itu berkata, perbicaraan kes SRC telah bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Sehingga kini, menurut Budiman, pihak pendakwaan telah memanggil 45 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dan pihak pendakwaan bercadang untuk memanggil lebih kurang 20 saksi lagi, tertakluk kepada perubahan keadaan yang dinamik.

"Bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC akan dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada 15 Ogos ini. Maka wajarlah permohonan (penangguhan) ini," katanya.

Sementara itu, perbicaraan kes 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga 22 Ogos dan bersambung pada 26 Ogos hingga 29 Ogos.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah sepanjang September, Oktober dan dua minggu pertama November dengan setiap hari Jumaat ditetapkan tiada perbicaraan.

Pada 30 April lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan notis usul buat kali pertama supaya perbicaraan 1MDB ditetapkan pada 14 Mei ditunda sementara menunggu perbicaraan kes SRC International selesai dan Hakim Sequerah membenarkan permohonan tersebut dengan menetapkan tarikh perbicaraan hari pertama pada 19 Ogos ini.

Bagaimanapun, Isnin lalu, mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB sekali lagi. - UTUSAN ONLINE.