Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan tarikh tersebut berikutan terdapat beberapa dokumen yang belum dilengkapkan. 

Pada 26 Julai lalu, Sulaiman yang dikenali sebagai Leman Raja Lawak didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berumur 17 tahun, April lalu.

Tertuduh yang berumur 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Puchong, Selangor pada pukul 3.30 petang, 6 April lalu.

Dia turut dituduh melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama dengan memeluk dan meramas kedua-dua buah dadanya di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor pada pukul 4 petang, tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Sebelum ini media melaporkan, Sulaiman juga didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya, November lalu. - UTUSAN ONLINE