Seorang lagi tertuduh iaitu pengarah syarikat warga Singapura yang sebelum ini tidak dibenarkan jaminan turut dibenarkan dijamin sebanyak RM250,000 bagi pertuduhan yang sama.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membuat keputusan itu selepas membuat semakan kehakiman keputusan Mahkamah Sesyen ke atas N. Maridass, 35; Yap Yoke Liang, 42; dan warganegara Singapura, Wang Jing Choa, 34.

Dalam keputusan kehakiman itu, Ahmad Kamal membenarkan wang jaminan terhadap Maridass dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM30,000 manakala jaminan terhadap Yoke Liang dikurangkan daripada RM250,000 kepada RM150,000.

Dalam hujahnya, Ahmad Kamal berkata, keputusan lain iaitu diikat jamin dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga selesai prosiding dijalankan dikekalkan.

“Seorang lagi tertuduh iaitu Jing Choa yang tidak dibenarkan dijamin sebelum ini dibenarkan diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin tempatan selain perlu melapor di pada setiap 15 haribulan di balai polis yang sama dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Ahmad Kamal dalam alasannya ketika memberikan keputusan menganggap Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memberikan keputusan jaminan ke atas kesemua tertuduh yang dituduh membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim. - UTUSAN ONLINE