Tertuduh, Noraini Abu Bakar, 33, yang beralamat di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad manakala tertuduh diwakili peguambela, Akmal Jusoh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya melakukan penipuan terhadap 17 pengadu kes tersebut di Kampung Baru Sungai Mahang, Nilai di sini antara Jun tahun lalu hingga Disember tahun lalu dengan memperdayakan dan mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM393,000.

Sebanyak 11 pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas enam lagi tuduhan menyalahkangunakan wang bayaran pakej umrah tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau sebatan dan boleh didenda.

Junaidah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan yang kesemuanya berjumlah RM52,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 22 Ogos ini.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang, semalam atas 18 pertuduhan membabitkan penipuan pakej umrah dengan nilai keseluruhan RM19,800 dan memalsukan dokumen pada November tahun lalu. -UTUSAN ONLINE