Tertuduh, V. Subramaniam menghadapi lapan pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memujuk mangsa dengan menjanjikan untuk membeli pelbagai jenis barangan serta pakaian dengan niat untuk melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Bagi lima pertuduhan lain, Subramaniam didakwa melakukan amang seksual, menyuruh mangsa melakukan perbuatan seks terhadapnya dan membiarkan mangsa melihat perbuatan seks dilakukan dirinya sendiri.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta bangunan Kompleks Penjaja Majlis Perbandaran Seremban kira-kira pukul 6 petang antara minggu kedua hingga ketiga pada Jun lalu.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 10 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian meminta mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia mengetahui mangsa dan ibu bapanya.

Berikutan itu, Junaidah membuat keputusan untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap Subramaniam selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki warga emas itu ditahan polis di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gopeng, Perak pada 9 Julai lalu selepas video dia melakukan gangguan seksual dan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu tular dalam laman sosial. -UTUSAN ONLINE