Tertuduh, Ng Chee Wei, 23, dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Sabreena [email protected] selepas membuat pengakuan bersalah kerana menyembunyikan wang milik pelakon tambahan, Mohd. Sazali Saminan,50.

Sabreena juga memutuskan tertuduh dipenjara lima dan enam bulan bagi kedua-dua pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Wei didakwa menolong menyembunyikan harta seseorang iaitu wang tunai RM900 milik Mohd. Sazali ke dalam akaun Maybank miliknya secara pindahan atas talian.

Bagi pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa menolong menyembunyikan harta milik mangsa iaitu wang tunai RM8,100 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya secara mesin deposit tunai cawangan Sungai Buloh.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

Difahamkan, tertuduh menerima wang tunai RM700 sebagai upah berikutan membenarkan akaunnya digunakan oleh individu lain.

Sementara itu, di mahkamah berasingan dua lelaki, Oon Yee Shin dan Yap Ka Wai masing-masing berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin atas dua pertuduhan memperdaya mangsa yang sama dengan menjual sebuah kereta jenis Toyota Vios 1.5(A) di laman jual beli atas talian mudah.my.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang masing-masing merupakan pelajar kolej didakwa memperdaya mangsa dengan menjual kenderaan yang tidak wujud sehingga mendorong Mohd. Sazali memasukkan wang RM9,000 ke dalam sebuah akaun Maybank secara pindahan atas talian dan mesin deposit tunai.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang mana jika disabit bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Ketiga-tiga tertuduh ini didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 dan Maybank cawangan Sungai Buloh kira- kira pukul 11.31 pagi dan 5.51 petang pada 20 Mei lalu.

Erry Shahriman membenarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 September hadapan.- UTUSAN ONLINE