Ahmad Dahlan Faisal, 33, selaku orang kena saman (OKS) didakwa telah menggunakan kenderaan persendirian jenis Proton Persona berwarna hitam bagi mengendalikan perkhidmatan tersebut tanpa lesen pengendali yang sah di Lobi Utama, Menara Kuala Lumpur di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 21 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16(5) bersama Seksyen 80(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah atas alasan dia melakukan perbuatan itu menggunakan kereta milik abang iparnya.

Pegawai Pendakwa, Raihana Halmi dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap OKS.

Majistret Wong Chai Sia turut memerintahkan kenderaan yang diguna pakai OKS itu disita.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguat kuasa SPAD yang menjalankan Operasi Khas Tegas telah mengekori kenderaan dipandu oleh OKS untuk mengambil penumpang di hadapan My Hotel, Jalan Pudu di sini.

Penumpang, S. Logendra memberitahu pihak SPAD dia telah mendapatkan perkhidmatan itu untuk perjalanan ke Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kadar tambang RM160. - UTUSAN ONLINE