Tertuduh yang berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara tertutup di hadapan Majistret Ti Pei Si.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada kira-kira pukul 11.30 pagi, 25 April 2019 bertempat di dalam tandas perempuan di sebuah sekolah di sini telah merogol seorang perempuan berusia 17 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376 (1) Kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Navini manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Yu Tang.

R. Navini kemudian meminta mahkamah mengenakan RM5,000 dengan seorang penjamin sebagai wang jaminan terhadap tertuduh.

Pei Si membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE