Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya dikenali sebagai Amirudin, 55, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Untuk pertuduhan pertama, Amiruddin pada 31 Januari lalu, pukul 12.15 tengah hari dalam kawasan Hutan Simpan Ibam dalam daerah Kuantan didakwa menguruskan suatu industri berasaskan kayu iaitu kilang papan bergerak tanpa suatu lesen yang sah berkuatkuasa.

Tertuduh yang juga warganegara Indonesia didakwa mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 (Negeri Pahang) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 3 (4) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Amiruddin pada 31 Januari lalu, pukul 12.15 tengah hari didakwa memasuki kawasan Hutan Simpan Ibam dalam daerah Kuantan tanpa memiliki lesen, permit atau apa-apa kebenaran.

Tertuduh didakwa di bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai di negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 47 (4) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Untuk pertuduhan pertama, hakim mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan dan lima bulan penjara untuk pertuduhan kedua yang mana kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 31 Januari lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE