Tertuduh, Mohd Nasron Ahmad Muzeni, 31, yang berpangkat Inspektor bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret, Norhayati Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menyebabkan keterangan bagi kes pengedaran dadah disyaki heroin seberat 42.48 gram yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 hilang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk melindungi empat lelaki daripada hukuman undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini kira-kira pukul 4.40 pagi, 6 April lalu.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali pada prosiding itu mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan kepada tertuduh.

Peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dalam rayuannya memohon agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh terpaksa menanggung ibu bapanya, isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia setahun dan dua adik yang menyambung pengajian di universiti.

“Anak guam saya juga merupakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat lebih enam tahun dan jaminan paling minimum bagi memastikan kehadiran di mahkamah adalah memadai,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen ditetapkan pada 7 Ogos depan.

Dalam pada itu, tertuduh mengelak daripada gambarnya dirakam petugas media apabila keluar dari pekarangan mahkamah dengan menggunakan laluan belakang. - UTUSAN ONLINE